ENTAH apa punca dan alasannya, figura terkenal yang juga penghibur kesayangan ramai, Anita Sarawak dan suaminya Mohd Mahathir Abdullah, tiba-tiba ‘menghilangkan diri’ daripada arena komersial dunia hiburan di Malaysia.
Bukan saja akhbar Melayu aliran perdana malah akhbar Inggeris tempatan juga melaporkan misteri kehilangan Anita (Kak Nita) dan Mahathir itu yang dikatakan sudah mengosongkan rumah mereka di Kuala Lumpur, beberapa bulan lalu.
Ada sumber berkata, Anita pulang menetap semula di Las Vegas dan ada pula mendakwa dia pergi bercuti ke Eropah. Namun apa yang menghairankan, Anita pergi tanpa meninggalkan sepatah kata dengan rakan-rakan karibnya sendiri termasuk pihak media yang selama ini sangat rapat dengan beliau. Adakah sesuatu yang tidak kena atau Anita berkecil hati atau merajuk?
Bayangkan, telefon bimbit dan e-melnya langsung tidak berjawab. Kontrak program televisyen yang dikendalikannya, Astana siaran Astro juga dikatakan sudah berakhir sebelum dia menyepi diri.
Spekulasi demi spekulasi timbul termasuk mengatakan rumah Anita dan Mahathir sedang bergolak. Namun itu hanya gosip dan perkara ini sendiri tidak dapat disahkan oleh keluarga Anita di Kuala Lumpur.
Sebaliknya kata adik Anita, bekas pelakon dan model Noorkumalasari, Anita ingin berehat panjang selepas kontraknya dengan Astro sudah tamat.
“Kak Nita memang ada memberitahu saya sebulan sebelum dia pulang ke AS kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan dan berehat sepuas-puasnya. Itu saja yang diberitahu kerana saya sendiri tidak berpeluang menghantar ke lapangan terbang kerana Kak Nita tidak mahu kelihatan dan diketahui sesiapa.
“Tapi tidak pula saya mengetahui sebab lain dia bertindak begitu kerana soal peribadinya tidak pernah kami bincangkan. Malah saya percaya Anita memang sudah penat dan ingin berehat panjang,” katanya.
Lalu, apabila penulis dihantar menjalankan satu tugasan perfileman di Arizona baru-baru ini, peluang itu terus digunakan untuk menjenguk Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd Taib, di rumahnya di Campana Drive, Spring Valley, Las Vegas pada 19 Februari lalu.
Mana tahu kalau-kalau Anita kini sedang berehat di rumahnya dan penulis punya kesempatan untuk singgah bertanyakan khabar.
Banglo Anita itu tersergam di kawasan perumahan mewah yang jauhnya kira-kira 40 kilometer dari The Strip iaitu pusat komersial terkenal Las Vegas.
Selepas sampai dan mengetuk pintu banglo dua tingkat itu, ia tidak langsung berjawab. Memegang tanggapan mungkin Anita keluar sebentar atau rugi pula jika tidak berjumpa selepas jauh datang seorang diri, penulis terus menunggu lebih tiga jam di depan rumahnya itu.
Kata seorang jiran ketika ditanya mengenai Anita dan adakah benar itu rumah beliau, mereka akui tidak rapat dengan penyanyi lagu Akhirnya Kini Pasti itu.
“Kami hanya mengucapkan selamat pagi dan selamat tinggal saja kalau bertembung dengan jiran-jiran kami. Itu adalah cara kejiranan di sini. Lantas saya tidak pula tahu siapa Anita atau Ithnani kerana sepanjang menetap di sini, saya tak pernah nampak kelibatnya kerana masing-masing sibuk dengan urusan harian,” katanya.
Usaha kembali pada hari kedua dan duduk menunggu di depan rumah Anita sekali lagi mengundang rasa kecewa. Jelas Anita tidak muncul-muncul juga dari dalam rumahnya.
Kemudian, penulis meneruskan misi menjejaki Anita dengan berkunjung pula Caesars Palace - tempat beliau membuat persembahan suatu ketika dulu.
Menemubual beberapa pekerja hotel yang sudah lama berkhidmat dan mungkin pernah mengenali Anita juga masih menemui jalan buntu.
Kata seorang pekerja yang enggan identitinya didedahkan, dia menyifatkan Anita seorang penyanyi yang dihormati ramai ketika membuat persembahan dulu kerana vokalnya hebat dan sikapnya yang begitu bijak melayan pengunjung.
Namun ditanya ke mana Anita dan adakah dia masih berhubung dengannya, lelaki pertengahan usia berkulit putih itu enggan mengulas lanjut.
“Saya tak pernah berhubung dengannya lagi kerana dia sudah lama tidak membuat persembahan di sini. Saya hanya pekerja biasa dan hanya beberapa kali nampak dia menyanyi,” katanya.
Bagaimanapun ketika penulis menghubungi sebuah syarikat penerbitan majalah tempatan yang sering menghebahkan pertunjukan pentas di Las Vegas, seorang penulis di sebuah laman sesawang ada menunjukkan sebuah artikel wajah Anita bersama Mahathir yang hadir dalam sebuah majlis rasmi di sana, Januari lalu.
Gambar itu jelas membuktikan Anita dan suaminya masih bersama. Lantas dakwaan kononnya Anita lari daripada kemelut rumah tangga yang dihadapinya serta khabar angin mengatakan dirinya sedang sakit adalah tidak benar sama sekali.
Sementara itu, sumber Astro yang enggan namanya disebut berkata Anita kini dalam tempoh bercuti dan destinasinya tidak diketahui.
Seorang teman wartawan yang akrab dengan Anita pula menyifatkan kehilangannya adalah satu tempoh mencari ketenangan selepas penat mencurah komitmen kepada kerjanya selama ini.
“Saya tidak percaya dengan segala spekulasi yang timbul lebih-lebih lagi dakwaan kononnya Anita berdepan masalah rumah tangga. Dia suka berehat panjang selepas penat bekerja. Saya percaya Anita akan kembali memberikan penjelasan satu hari nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment